Wednesday, September 14, 2011

Islam Hanya 5 Perkara



Kalau di imbau kembali kenangan manis waktu di bangku sekolah dulu, daripada sekolah Fardhu Ain ke sekolah rendah dan akhirnya ke sekolah menengah., seringkali kita diajar dan diingatkan oleh cikgu2, ustazah atau pun ustaz2 bahawa Rukun Islam itu 5 perkara :

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Bersolat 5 waktu sehari.
3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
4. Menunaikan zakat.
5. Menunaikan Haji.

Dalam fikiran kita, seorang Islam itu mestilah melakukan kesemua 5 perkara ini, dan inilah Islam yang diamalkan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita. Bahkan ada juga yang menganggap, untuk menjadi seorang muslim 5 perkara RUKUN ini sudah cukup dan ditambah pula dengan rukun Iman 6 perkara.

Sedih dan sayu hati bila ramai yang melihat Islam hanyalah 5 perkara. 5 perkara yang dinyatakan sebagai RUKUN dalam Islam. Kalau dilihat sebuah rumah, rukun itu hanyalah seperti tiang-tiang yang menjadi penyokong untuk rumah tersebut. Konteks Islam itu menjadi sempit apabila ramai menganggap cukup sekadar melakukan 5 perkara dan tidak perlu mengaitkan urusan-urusan lain dengan Islam. Urusan seperti pekerjaan, pergaulan, politik dan berbagai-bagai lagi. Sehingga ada yang menganggap Islam tidak boleh dipakai untuk perkara-perkara lain kerana sudah ketinggalan zaman! Malah ada juga yang mengatakan bahawa kalau hendak berdakwah jangan bercerita selain perkara asas ini . Jadilah Islam itu agama yang tidak syumul kerana ia hanyalah 5 perkara ini.

Rukun itu ibarat seperti kepala manusia. Tapi ia tidak lengkap jika hanya mempunyai kepala, sekurang-kurangnya ia perlu mempunyai tangan, badan dan kaki. Islam itu amatlah luas ruang lingkupnya, ia adalah  Ad-Din, iaitu cara hidup. Diberikan kepada manusia Al-Quran dan Sunnah Rasullullah kepada kita untuk dijadikan panduan dan ikutan sepanjang masa. Bukan hanya untuk dulu kini dan selamanya, tapi dalam setiap pergerakan diri, perlakuan, perbuatan, kata-kata dan segala-segalanya haruslah mengikut acuan Islam. Akhlak acuan Islam amatlah indah, semua perkara diajar termasuklah adab pergi ke tandas sekalipun. Tapi berapa ramai yang tahu dan ikut seperti apa yang diajarkan oleh Islam.

Kalau Islam itu diambil secara keseluruhan, tidak akan timbul isu seperti, ustaz-ustaz yang mengajar Islam tidak boleh mengkritik tentang isu semasa, mereka hanya perlu fokus kepada hal-hal agama sahaja, apakah hal-hal lain itu bukan agama? Ustaz-ustaz dijadikan sebagai rujukan untuk kita, jika hanya dirujuk tentang 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman, apa nak jadi dengan yang lain? Adakah perkara yang "lain" itu tidak ada kaitan dengan Islam?


بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء
Maksudnya : Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim )

No comments:

Post a Comment

kata yang baik meningkatkan iman