Tuesday, October 11, 2011

The Strike of Lightning Reminds Me to Death



Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati, dan sesungguhnya akan disempurnakan ganjaran kamu pada hari kiamat. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kemenangan. Dan kehidupan dunia in hanyalah kesenangan yang memperdaya. 
Al-Imran-185

Keadaan waktu itu amat muram, susana petang yang mendung dan gelap. Kegelapan petang itu dapat dirasai oleh semua yang ada di situ. Perasaan seram dan takut menjalar ke seluruh tubuh setiap insan yang menyaksikannya. Ada yang terketar-ketar melihat satu persatu tubuh-tubuh segar jatuh  dalam keadaan yang hina. 

Waktu itu masing-masing menangis teresak-esak dalam penyesalan dan ketakutan. Tiada siapa yang berani untuk mengatakan dengan sombong aku tidak melakukan itu dan ini. Semuanya sibuk memohon keampunan di atas dosa-dosa yang menimbun. Namun tiada siapa yang dapat menyelamatkan mereka pada saat itu kecuali Allah, tuhan sekalian alam yang Maha pengampun, Maha pengasih lagi Maha penyayang.

Saat itu juga, tiada apa yang dihajatkan selain keampunan dari Allah di atas dosa-dosa kemaksiatan yang telah dilakukan. Begitu perit untuk diceritakan dan begitu perit untuk dikongsikan. Merasai mati yang begitu hampir sekali di kerongkong, yang dapat menghumbankan diri ini ke dalam neraka kerana banyak dosanya.

Pengadilan ini hanya berlaku di halaman rumah, bersama beberapa orang lain yang tidak dikenali. Namun begitu, tiada terdetik di hati untuk bertanya kenapa kita dikumpulkan di sini, diberikan hukuman dengan petir dari langit Ilahi. Setiap yang berdosa pasti merasai takut yang amat dahsyat kerana melihat satu-persatu insan dihukum dengan sambaran petir dari langit itu. Dihadapan mata ini, terlihat sekujur tubuh rentung disambar petir kerana dosa-dosa yang dilakukan.

Diri ini tidak putus-putus memohon doa kepada Allah : Ya Allah! ampunkanlah segala dosa-dosaku ya Allah! Aku telah melakukan banyak melakukan banyak dosa ya Allah! aku menyesal atas segala perbuatan dosaku ya Allah! ampunkanlah aku ya Allah! ampunkan aku!! dengan linangan air mata yang mencurah-curah kerana begitu takut dengan ajal yang hampir tiba.

Tidak putus-putus aku memohon keampunan dari Allah,  terketar-ketar tubuh ini menunggu ajal yang hampir tiba, petir yang memancar-mancar di langit  hanya menunggu perintah untuk menyambar diri yang hina ini. Tidak pernah pun terfikir bahawa diri ini akan mati sebentar lagi. Walaupun sedar dengan dosa-dosa yang dilakukan tetapi begitu sukar untuk bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah. Terasa amat menyesal yang amat pada saat itu, tapi semua itu sudah terlambat.

Namun gilirankan ku tiba jua akhirnya, dalam hati ini berkata, matilah aku.. matilah aku.. aku akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa aku, menangis-nangis  seperti anak-anak kecil yang begitu sedih tidak sempat bertaubat. Kilauan petir biru diawan yang hitam itu amat menggerunkan sesiapa pun.

Tiba-tiba aku tersentak, jeritan-jeritan suara manusia dan kegelapan petang itu tiba-tiba bertukar menjadi kegelapan malam yang sunyi sepi. Kedengaran bunyi kipasku yang berputar laju yang membantu menghilangkan kehangatan malam. Melihat keadaan sekeliling, rupanya aku masih di katil.

Peristiwa dahsyat itu tadi adalah mimpi tidurku. Aku begitu bersyukur kerana Allah masih ingin mengingatkan aku untuk membersihkan diri dari dosa-dosa lalu. Aku menangis pada saat itu apabila mengenang kembali saat hayatku di dunia akan diambil. Terus aku beristighfar dan bersyukur kepada Allah kerana masih membuka pintu taubatNya walaupun aku ini sering lupa dan lalai dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang hambaNya di muka bumi ini.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa yang telah aku lakukan selama ini dan jauhkanlah diriku ini dari api nerakaMu. Sesungguhnya aku hanyalah hambaMu yang lemah dan engkaulah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.....