Tuesday, October 4, 2011

Dengki orang yang dengki



Alhamdulillah selama hayat yang Allah telah kurniakan kepada diri ini kelibat orang dengki tidak begitu jelas kelihatan. Mungkin kerana diri sendiri belum cukup hebat untuk didengki oleh para manusia. Bukan hendak mencari orang yang mendengki dan bukan juga suka apabila ada orang dengki kepada kita Cuma sebagai petanda diri belum cukup khaul untuk didengki. Ada juga orang yang merasa tertekan kerana begitu ramai orang yang cemburu dan dengki dengannya . Tetapi hakikatnya kita patut bersyukur terhadap pendengki-pendengki disekitar kita kerana ia merupakan petanda kita telah diberi  kelebihan oleh Allah melebihi dari orang lain di atas muka bumi ini.



Secara tidak sedar, seseorang itu menyimpan perasaan cemburu terhadap yang lain kerana dia tidak ada apa yang orang lain ada. Bukan hanya harta, malah juga kelebihan seseorang seperti pandai dalam pelajaran, berbudi pekerti, sopan santun dan berakhlak mulia. Amatlah pelik jika ada yang dengki terhadap orang lain kerana kekurangan seseorang itu. Sebagai contoh si A dengki kepada si B kerana si B tidak pandai dalam pelajaran dan selalu mendapat tempat yang corot di dalam kelas.  


Fikirlah bahawa orang dengki terhadap kita kerana kelebihan yang kita ada, jadi sepatutnya kita berasa gembira kerana kita mempunyai kelebihan daripada orang lain. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menjadi hambanya yang bertakwa dengan bersabar di atas segala dugaan yang diberi. Tunjukkanlah akhlak yang baik walaupun ada yang membenci kerana kita tidak mampu untuk memuskan hati semua manusia. Kewajiban kita hanyalah mendapatkan redha Allah dalam setiap perbuatan yang kita lakukan.