Friday, December 30, 2011

Oh Sangat Best Rumahku!

Alhamdulillah selesai tiba di Rochester pada 11.33 malam 29/12/2011 setelah menempuhi perjalanan selama lebih kurang 3 hari :) semoga pengalaman dan jerih payah yang ditimba dapat dijadikan penguat untuk terus bekerja di jalan Allah. Amin

Sunday, December 11, 2011

Peringatan untuk diri yang lemah ini..



Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Al-Hujurat (49) : 11

Friday, December 9, 2011

Sujud dan Rukuk

Solat bukan sujud dan rukuk sahaja..bukan ritual semata...Solat perlu diiringi rasa kehambaan. Itulah dia Khusyuk. Apa itu rasa kehambaan? Kata Imam Al Ghazali- "Ianya rasa kagum, takut, harap, hina dan malu serng hamba tatkala menyembah Tuhannya dlm solat" Tanpa rasa kehambahan kita umpama jasad tanpa roh. Bagai bangkai yang tidak bernyawa. - Wardina Safiyyah

Monday, November 21, 2011

Karat Jahiliah

Bila iman itu turun dan naik, apabila nafsu menguasai diri, apabila akal tidak dapat mengawal perbuatan saat itu kita akan mudah terjatuh.

Mungkin jatuh itu akan naik kembali, mungkin juga jatuh itu terus menjunam sehingga ianya kosong.

Sedih dan pilu kerana perbuatan kita. Perbuatan yang menggelapkan dan memadamkan cahaya dari hati itu.
Asalnya ia putih dan jernih, tetapi kerana kesombongan kita, kita terlupa siapa yang ada di atas sana.
Merasakan semua aku yang punya, terlupa maut sentiasa di depan, tiba masa akan pergi tanpa kembali lagi.

Tetapi kenapa badan ini masih berdegil, masih membatu melakukan dosa. Sedih.... kasihan.... malu.....

Seorang hamba yang tidak sedar dirinya hina tetapi sentiasa membuat dosa.
Semoga Allah mengampunkan kita semua dan agar kita sentiasa dilindungi dari fana dunia :'(

Tidak Mengenal

Kadang-kadang di dalam kehidupan kita seharian kita merasakan diri kita ini sudah cukup "baik"
Tetapi hakikatnya ramai yang terlupa manusia itu selalu terlupa untuk mencari atau menjadi yang lebih baik.

Tiba-tiba kita tersentak dengan perkara-perkara baru atau lama yang singgah pada diri kita.
Saat itu kita mula tersentak dari lamunan - Aku sebenarnya masih jahil bukan cukup "baik"


Rupa-rupanya masih banyak yang kita perlu belajar dan ianya akan berterusan hingga ke akhir hayat.
Janganlah kita sesekali merasakan diri kita ini cukup dengan sesuatu kerana itu akan melekakan kita untuk terus berusaha mencari dan bertemu dengan kebenaran dalam kehidupan seharian kita.

Islam itu akan terus berada di atas walaupun kita tidak berusaha untuk menegakkannya, itulah janji Allah...

Thursday, October 27, 2011

Harapan


Amatlah suka bagi saya untuk membaca artikel oleh Dr. Asri. Baru-baru ini Dr.Asri menulis satu artikel tentang harapan dan kebangkitan Arab. Amatlah bernas hujah yang dikeluarkan  dan amatlah bermakna isinya.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit input yang dapat dijadikan pengajaran dan ingatan untuk semua. Mungkin perkara ini jarang diceritakan dan didengar dalam kehidupan kita seharian. Tapi ia amatlah penting untuk berharap  kepada Allah sentiasa. Kerana dalam kehidupan seharian ianya tidak selalu baik dan indah, kadang-kadang kita diuji dengan pelbagai perkara yang mungkin menyebabkan kita sedih dan berputus asa. Semoga kita dapat menjadi muslim yang hebat di dunia dan akhirat.

Ya, insan hidup dengan harapan atau cita-cita. Kecil atau besar tidak penting. Selagi ada harapan, insan akan cuba bangun dan meneruskan hidup. Jika putus asa mengambil tempat harapan, maka pelbagai perkara buruk akan dilakukan. Putus asa boleh membawa insan membunuh diri dan mengganas. Sanggup memusnahkan apa sahaja kerana segalanya sudah tidak bernilai lagi. Justeru, akidah Islam melarang putus asa terhadap Tuhan. Pintu harapan terhadap Tuhan sentiasa dibuka. Firman Allah (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar:53).
Artikel penuh di DR.MAZA

Monday, October 17, 2011

Dari Mana Datangnya Bahagia?



Setiap manusia pasti mahukan kebahagiaan di dalam kehidupan masing-masing.
Namun ramai terlupa bagaimana ingin mengecapi kebahagiaan.
Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal : Ramainya manusia tidak bahagia kerana mereka terlupa untuk mensyukuri apa yang ada pada mereka. Mereka sering mencari keburukan dan bukanlah kebaikan

Kata-kata ini menyebabkan saya berfikir sejenak... Ya memang inilah punca kebahagiaan dan kegembiraan itu hilang dan sukar itu dicari lebih-lebih dizaman ini, yang mana kebanyakan manusia itu berlumba-lumba mencari kebahagiaan melalui harta benda, wang, pangkat, isteri cantik, kereta mewah, rumah yang besar dan seterusnya.

Adakah benar jika kita mempunyai wang yang banyak itu akan menjamin kebahagiaan diri? Adakah benar makan yang sedap dan lazat akan memberi kita bahagia? Adakah benar ini semua?

Firman Allah taala dalam surah Saba' 34: 13
“Dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang bersyukur”

Ya, kebahagiaan itu akan hadir apabila kita mensyukuri nikmat dan apa jua yang dikurniakan kepada kita oleh Allah yang Maha Pemurah. Jika kita mampu untuk mensyukuri segala perkara yang Allah kurniakan, Insyaallah secara tidak langsung kita akan sedar bahawa inilah yang terbaik untuk kita. Cubalah untuk mencari kebaikan dari setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan kita (walaupun kadang-kadang ianya sukar) supaya bahagia itu akan sentiasa hadir dan menjadikan kita golongan hamba-hamba Allah yang bersyukur. 


Kebahagiaan itu hanya boleh diberi oleh Allah....


Tuesday, October 11, 2011

The Strike of Lightning Reminds Me to Death



Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati, dan sesungguhnya akan disempurnakan ganjaran kamu pada hari kiamat. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kemenangan. Dan kehidupan dunia in hanyalah kesenangan yang memperdaya. 
Al-Imran-185

Keadaan waktu itu amat muram, susana petang yang mendung dan gelap. Kegelapan petang itu dapat dirasai oleh semua yang ada di situ. Perasaan seram dan takut menjalar ke seluruh tubuh setiap insan yang menyaksikannya. Ada yang terketar-ketar melihat satu persatu tubuh-tubuh segar jatuh  dalam keadaan yang hina. 

Waktu itu masing-masing menangis teresak-esak dalam penyesalan dan ketakutan. Tiada siapa yang berani untuk mengatakan dengan sombong aku tidak melakukan itu dan ini. Semuanya sibuk memohon keampunan di atas dosa-dosa yang menimbun. Namun tiada siapa yang dapat menyelamatkan mereka pada saat itu kecuali Allah, tuhan sekalian alam yang Maha pengampun, Maha pengasih lagi Maha penyayang.

Saat itu juga, tiada apa yang dihajatkan selain keampunan dari Allah di atas dosa-dosa kemaksiatan yang telah dilakukan. Begitu perit untuk diceritakan dan begitu perit untuk dikongsikan. Merasai mati yang begitu hampir sekali di kerongkong, yang dapat menghumbankan diri ini ke dalam neraka kerana banyak dosanya.

Pengadilan ini hanya berlaku di halaman rumah, bersama beberapa orang lain yang tidak dikenali. Namun begitu, tiada terdetik di hati untuk bertanya kenapa kita dikumpulkan di sini, diberikan hukuman dengan petir dari langit Ilahi. Setiap yang berdosa pasti merasai takut yang amat dahsyat kerana melihat satu-persatu insan dihukum dengan sambaran petir dari langit itu. Dihadapan mata ini, terlihat sekujur tubuh rentung disambar petir kerana dosa-dosa yang dilakukan.

Diri ini tidak putus-putus memohon doa kepada Allah : Ya Allah! ampunkanlah segala dosa-dosaku ya Allah! Aku telah melakukan banyak melakukan banyak dosa ya Allah! aku menyesal atas segala perbuatan dosaku ya Allah! ampunkanlah aku ya Allah! ampunkan aku!! dengan linangan air mata yang mencurah-curah kerana begitu takut dengan ajal yang hampir tiba.

Tidak putus-putus aku memohon keampunan dari Allah,  terketar-ketar tubuh ini menunggu ajal yang hampir tiba, petir yang memancar-mancar di langit  hanya menunggu perintah untuk menyambar diri yang hina ini. Tidak pernah pun terfikir bahawa diri ini akan mati sebentar lagi. Walaupun sedar dengan dosa-dosa yang dilakukan tetapi begitu sukar untuk bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah. Terasa amat menyesal yang amat pada saat itu, tapi semua itu sudah terlambat.

Namun gilirankan ku tiba jua akhirnya, dalam hati ini berkata, matilah aku.. matilah aku.. aku akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa-dosa aku, menangis-nangis  seperti anak-anak kecil yang begitu sedih tidak sempat bertaubat. Kilauan petir biru diawan yang hitam itu amat menggerunkan sesiapa pun.

Tiba-tiba aku tersentak, jeritan-jeritan suara manusia dan kegelapan petang itu tiba-tiba bertukar menjadi kegelapan malam yang sunyi sepi. Kedengaran bunyi kipasku yang berputar laju yang membantu menghilangkan kehangatan malam. Melihat keadaan sekeliling, rupanya aku masih di katil.

Peristiwa dahsyat itu tadi adalah mimpi tidurku. Aku begitu bersyukur kerana Allah masih ingin mengingatkan aku untuk membersihkan diri dari dosa-dosa lalu. Aku menangis pada saat itu apabila mengenang kembali saat hayatku di dunia akan diambil. Terus aku beristighfar dan bersyukur kepada Allah kerana masih membuka pintu taubatNya walaupun aku ini sering lupa dan lalai dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang hambaNya di muka bumi ini.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa yang telah aku lakukan selama ini dan jauhkanlah diriku ini dari api nerakaMu. Sesungguhnya aku hanyalah hambaMu yang lemah dan engkaulah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.....

Tuesday, October 4, 2011

Dengki orang yang dengki



Alhamdulillah selama hayat yang Allah telah kurniakan kepada diri ini kelibat orang dengki tidak begitu jelas kelihatan. Mungkin kerana diri sendiri belum cukup hebat untuk didengki oleh para manusia. Bukan hendak mencari orang yang mendengki dan bukan juga suka apabila ada orang dengki kepada kita Cuma sebagai petanda diri belum cukup khaul untuk didengki. Ada juga orang yang merasa tertekan kerana begitu ramai orang yang cemburu dan dengki dengannya . Tetapi hakikatnya kita patut bersyukur terhadap pendengki-pendengki disekitar kita kerana ia merupakan petanda kita telah diberi  kelebihan oleh Allah melebihi dari orang lain di atas muka bumi ini.



Secara tidak sedar, seseorang itu menyimpan perasaan cemburu terhadap yang lain kerana dia tidak ada apa yang orang lain ada. Bukan hanya harta, malah juga kelebihan seseorang seperti pandai dalam pelajaran, berbudi pekerti, sopan santun dan berakhlak mulia. Amatlah pelik jika ada yang dengki terhadap orang lain kerana kekurangan seseorang itu. Sebagai contoh si A dengki kepada si B kerana si B tidak pandai dalam pelajaran dan selalu mendapat tempat yang corot di dalam kelas.  


Fikirlah bahawa orang dengki terhadap kita kerana kelebihan yang kita ada, jadi sepatutnya kita berasa gembira kerana kita mempunyai kelebihan daripada orang lain. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menjadi hambanya yang bertakwa dengan bersabar di atas segala dugaan yang diberi. Tunjukkanlah akhlak yang baik walaupun ada yang membenci kerana kita tidak mampu untuk memuskan hati semua manusia. Kewajiban kita hanyalah mendapatkan redha Allah dalam setiap perbuatan yang kita lakukan.

Wednesday, September 14, 2011

Islam Hanya 5 Perkara



Kalau di imbau kembali kenangan manis waktu di bangku sekolah dulu, daripada sekolah Fardhu Ain ke sekolah rendah dan akhirnya ke sekolah menengah., seringkali kita diajar dan diingatkan oleh cikgu2, ustazah atau pun ustaz2 bahawa Rukun Islam itu 5 perkara :

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Bersolat 5 waktu sehari.
3. Berpuasa di bulan Ramadhan.
4. Menunaikan zakat.
5. Menunaikan Haji.

Dalam fikiran kita, seorang Islam itu mestilah melakukan kesemua 5 perkara ini, dan inilah Islam yang diamalkan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita. Bahkan ada juga yang menganggap, untuk menjadi seorang muslim 5 perkara RUKUN ini sudah cukup dan ditambah pula dengan rukun Iman 6 perkara.

Sedih dan sayu hati bila ramai yang melihat Islam hanyalah 5 perkara. 5 perkara yang dinyatakan sebagai RUKUN dalam Islam. Kalau dilihat sebuah rumah, rukun itu hanyalah seperti tiang-tiang yang menjadi penyokong untuk rumah tersebut. Konteks Islam itu menjadi sempit apabila ramai menganggap cukup sekadar melakukan 5 perkara dan tidak perlu mengaitkan urusan-urusan lain dengan Islam. Urusan seperti pekerjaan, pergaulan, politik dan berbagai-bagai lagi. Sehingga ada yang menganggap Islam tidak boleh dipakai untuk perkara-perkara lain kerana sudah ketinggalan zaman! Malah ada juga yang mengatakan bahawa kalau hendak berdakwah jangan bercerita selain perkara asas ini . Jadilah Islam itu agama yang tidak syumul kerana ia hanyalah 5 perkara ini.

Rukun itu ibarat seperti kepala manusia. Tapi ia tidak lengkap jika hanya mempunyai kepala, sekurang-kurangnya ia perlu mempunyai tangan, badan dan kaki. Islam itu amatlah luas ruang lingkupnya, ia adalah  Ad-Din, iaitu cara hidup. Diberikan kepada manusia Al-Quran dan Sunnah Rasullullah kepada kita untuk dijadikan panduan dan ikutan sepanjang masa. Bukan hanya untuk dulu kini dan selamanya, tapi dalam setiap pergerakan diri, perlakuan, perbuatan, kata-kata dan segala-segalanya haruslah mengikut acuan Islam. Akhlak acuan Islam amatlah indah, semua perkara diajar termasuklah adab pergi ke tandas sekalipun. Tapi berapa ramai yang tahu dan ikut seperti apa yang diajarkan oleh Islam.

Kalau Islam itu diambil secara keseluruhan, tidak akan timbul isu seperti, ustaz-ustaz yang mengajar Islam tidak boleh mengkritik tentang isu semasa, mereka hanya perlu fokus kepada hal-hal agama sahaja, apakah hal-hal lain itu bukan agama? Ustaz-ustaz dijadikan sebagai rujukan untuk kita, jika hanya dirujuk tentang 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman, apa nak jadi dengan yang lain? Adakah perkara yang "lain" itu tidak ada kaitan dengan Islam?


بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء
Maksudnya : Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim )

Tuesday, September 13, 2011

Melabur Untuk Hidup

Kalau sebut tentang pelaburan tentu sudah ramai  terbayang duit yang banyak.
Sama ada banyak untungnya atau kos pelaburan itu sendiri. Ramai manusia berlumba-lumba untuk melibatkan diri dalam pelaburan tidak kira cepat kaya atau lambat kaya. Yang pastinya semua mengharapkan keuntungan di pengakhirannya.

Jikalau ada suatu rahsia pelaburan yang amat hebat, yang boleh menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda yakni lebih dari apa yang dilaburkan adakah anda mahu? Adakah anda sanggup untuk meluangkan masa anda demi mendapatkan rahsia ini? Tidak ada lagi pelaburan yang lebih hebat dari pelaburan yang akan diceritakan.

Seseorang pernah berkata, harta yang paling berharga dalam dunia ni adalah duit(money)wangringgit($) SALAH! Bukanlah wang itu tidak berharga, tetapi ada yang lebih berharga daripada itu. Setiap insan yang bernama manusia di atas muka bumi ini pasti mempunyai harta ni. Ia dipanggil ILMU. Setuju atau tidak bukan persoalannya. Tapi, apa yang hendak ditekankan di sini adalah, ILMU itu harta yang sangat berharga dan amatlah rugi jika ia tidak dilaburkan.

Tips melabur

1. Jadikan ilmu yang ada sebagai satu amalan.
2. Sampaikan juga ilmu itu kepada orang lain.

    

Dari Abdullah bin Amr radhiyallahu ta’ala ‘anhu, bahwa Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً
“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari)
Melalui pengamalan, ia dapat dijadikan ikutan dan contoh untuk orang lain. Dengan menyampaikannya, dapat mengingatkan orang yang lalai dan jahil. Yang paling penting sekali adalah dapat memperignatkan diri kita sendiri. Masakan kita boleh bersenang-lenang menasihati orang lain sedangkan kita tidak melakukannya juga.

Moga-moga dengan ilmu yang kita sampaikan dapat memberikan kita manfaat di dunia dan akhirat. Manfaat di dunia amatlah banyak, dengan ilmu seseorang itu dihormati, dengan ilmu seseorang itu menjadi hebat, dengan ilmu itu juga seseorang itu boleh di campakkan ke dalam syurga atau neraka.

Bagaimana boleh ke neraka sedangkan dia mempunyai ilmu yang banyak? Ia terjadi apabila ilmu yang ada tidak diamalkan dan dimanfaatkan untuk diri sendiri dan juga orang lain. Tiada kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan. Kejayaan dan kegagalan di tangan kita, pilihlah yang mana kita mahukan sebelum terlewat.

Friday, September 9, 2011

Melabuhkan Layar Kapal


Hidup ini umpama kapal.
Kapal yang berlayar di lautan.
Perlu dipandu oleh sang nakhoda.
Jika kapal itu hebat belum tentu ia selamat.
Jika nakhodanya hebat Insyaallah akan tiba jua.

Mampukah kita menjadi nakhoda yang hebat?
Menempuh ombak dan ribut di lautan?
Memandu kapal hingga tiba?

Bukan hanya perlu menepuk dada dan bertanya pada selera, tetapi perlu bergerak dan berusaha.
Tetapi tidak lupa pada Tuhan yang Maha Kuasa.

Tanpa Dia siapalah kita...