Dimana kita meletakkan nilai Al-Quran pada hari ini jika ianya hanya dibaca dalam bahasa ibundanya dan tidak langsung terdetik dihati untuk memahami maksudnya. Teguran untuk diri sendiri juga kerana tidak bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Arab dan cuba memahami isi Al-Quran itu dengan betul. Kerana apa saya mengatakan nilai Al-Quran itu direndahkan oleh umat Islam sendiri? Kerana kita tidak begitu bersungguh-sungguh untuk memahami isinya. Kalau kita boleh berusaha bersusah-payah mempelajari Bahasa Inggeris demi memahami sains dan matematik dan ilmu-ilmu yang lain, kenapa kita tidak berusaha bersunguh-sungguh untuk memahami buku yang mempunyai panduan hidup untuk semua manusia di bumi ini.
Tidak hairanlah kalau muncul individu-individu dikalangan umat Islam sendiri yang merasakan Islam itu ketinggalan zaman. Apakah puncanya? Puncanya adalah diri kita sendiri. Dari kecil hingga dewasa kita tidak pernah meletakkan Al-Quran itu sebagai neraca kehidupan kita. Segelintir dari kita hanya membaca tetapi tidak menyematkan apa yang dibaca dalam kehidupan seharian. Bilamana kita berfikir adakah pertimbangan kita mengambil kira apa yang diajar oleh Islam? Dalam perlakuan seharian adakah kita memikirkan bahawa adakah perlakuan aku ini mengikuti Al-Quran dan sunnah atau sebaliknya.
Selagi kita malas untuk memahami isi Al-Quran selagi itulah umat Islam akan dipandang rendah dan hina. Selagi mana kita tidak memahami ajaran Islam itu dengan sebenar-benarnya, selagi itulah kehidupan kita akan serupa dengan orang yang tidak mengenali Islam. Islam itu suatu rahmat dan nikmat yang besar jika kita memahaminya. Ingatlah bahawa Allah sentiasa dekat dan kitalah yang selalu menjauhkan diri dari Allah kerana kejahilan diri sendiri. Jangan dilupa syaitan itu akan cuba sedaya upaya untuk menipu dan memperdayakan manusia supaya mengingkari Allah. Sedangkan syaitan itu sendiri patuh perintah Allah kecuali ketika diminta bersujud kepada Adam mereka enggan kerana sombong dengan apa yang dimiliki. Syaitan itu hanya melakukan apa yang dizinkan Allah, tetapi manusia lebih hebat dalam mensyirikkan Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada azabnya.
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. - Al-Baqarah:208
Umat Islam itu apabila mereka meninggalkan Al-Quran mereka menjadi kering dan mati ibarat pokok yang tidak disiram yang akhirnya akan menjadi kering dan mati.
No comments:
Post a Comment
kata yang baik meningkatkan iman